Hishamuddin Rais: Kita & Nilai Felda

KITA DAN NILAI FELDA
by Hishamuddin Rais

Saya kurang pasti apakah kita harus berbangga atau bersedih apabila negara kita Malaysia menjadi tuan rumah untuk pelbagai persidangan antarabangsa. Kalau saya berbangga maka jelas bahawa saya ini hanya memiliki nilai-nilai Felda. Nilai Felda yang saya maksudkan ini ialah nilai kulitan yang hanya dapat melihat perkara-perkara yang dapat dilihat dengan mata atau dipegang dengan tangan.

Saya memunculkan konsep nilai Felda ini kerana pada asasnya masyarakat Felda adalah masyarakat transisi yang telah tercabut dari kampung tradisional tempat asal usul budaya akar umbi mereka. Penduduk Felda adalah pendatang dari pelbagai kampung yang berkumpul dalam satu kawasan baru. Dari masyarakat kampung yang tidak memiliki keupayaan ekonomi jual beli, tiba-tiba apabila harga getah atau harga sawit naik maka mereka memiliki kuasa beli. Kuasa beli yang datang dengan mendadak inilah yang menimbulkan apa yang saya panggil nilai Felda.

Masyarakat transisi ini memiliki ciri dan pola-pola kecelaruan budaya. Kecelaruan budaya inilah yang saya panggil kecelaruan budaya nilai Felda. Saya menggunakan Felda sebagai metafora untuk Malaysia kerana Malaysia juga pada ketika ini adalah dalam suasana transisi yang sedang menggasak. Untuk saya budaya yang sedang diterapkan kepada warga hari ini sama dengan budaya nilai Felda.

Nama Felda ini saya gunakan untuk satu nilai yang bercelaru kerana ada sejarahannya. Pada tahun 1966 Presiden Johnson dari Amerika Syarikat telah melawat rancangan Felda Sendayan Labu Negeri Sembilan. Sebelum presiden Amerika ini datang setiap rumah peneroka Felda di sini telah diberikan tilam dan bantal dunlopilo. Sebuah rumah peneroka telah dipilih untuk di lawati oleh Presiden Johnson.

Saya tahu surah ini kerana rumah yang dipilih untuk dilawati Johnson ini adalah rumah seorang peneroka yang berasal dari Kampong Amar Penghulu Jelebu Negeri Sembilan. Dari mulut keluarga inilah saya dapat mendengar cerita bahawa sesudah lawatan Johnson ini selesai, semua tilam dan bantal-bantal dunlopilo ini diambil kembali oleh pihak yang berkuasa.

Hingga ke hari ini nilai Felda Kampung LBJ ini belum terhakis malah semakin menebal. Kerana itu, saya ingin mengajak semua warga Malaysia untuk mengingatkan kembali apa yang terjadi apabila kita menjadi tuan rumah Sukan Commonwealth pada tahun 1998 dahulu. Pada tahun itu, siang malam Kuala Lumpur digali, diketuk dan dipaku. Kawasan kedai lama telah dibasuh dan dicat. Rumah-rumah setinggan telah diruntuhkan. Pelbagai macam bangunan didirikan. Sayangnya hingga ke hari ini laporan kewangan Sukan Commonwealth ini masih terbengkalai.

Saya harap warga Malaysia tidak akan melupakan keris-keris yang tidak berhulu yang tertanam di tengah-tengah jalan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Keris yang berhulukan angka 98 ini berselirat mengganggu mata kita. Apa telah jadi dengan keris-keris ini? Keris ini tidak mungkin berkarat kerana ianya dibuat dari simen. Siapa yang mengambil dan di rumah siapakah keris-keris ini tersimpan sekarang ?

Beberapa bulan sebelum sukan ini bermula ramai warga kota tanpa rumah, Mat-Mat Gian dan pelbagai macam jenis Mat telah ditahan tanpa apa-apa sebab. Mereka dituduh sebagai Kutu Rayau. Kehadiran mereka dianggap memalu dan mengotorkan keindahan Kuala Lumpur. Lalu mereka ditangkap. Kerana tidak ada tempat maka Penjara Pudu yang telah lama ditutup dibuka kembali untuk menyorokkan warga miskin kita ini dari dilihat oleh pelawat-pelawat luar negara.

Perkara yang sama berlaku ketika berlangsungnya persidangan Negara-Negara Berkecuali dan Persidangan Negara-Negara Islam. Hanya ada sedikit perbezaan. Semasa Sukan Commonwealth dahulu penduduk di kawasan Sri Kembangan dan Serdang selalu putus air kerana aliran air telah dialihkan untuk pergi mengisi kolam-kolam renang dan menyirami padang-padang rumput pasang siap yang hingga ke hari ini belum siap-siap lagi. Persidangan NAM dan OIC tidak banyak menggunakan air. Jadi warga Kuala Lumpur kurang terseksa.

Minggu lalu, saya perhatikan nilai-nilai Felda masih berterusan lagi. Saya ternampak para buruh dan mandur di beberapa pinggir jalan amat sibuk bekerja hingga ke lewat pagi. Mereka sedang berusaha menanamkan bunga-bunga pasang siap untuk memperindahkan jalan-jalan di Kuala Lumpur. Lorong kaki lima secara tiba-tiba diperbaharui. Batu bata yang bertahun-tahun rosak semenjak Sukan Commonwealth dahulu kini diganti dengan yang baru. Banting-banting dan bendera-bendera kelihatan bertaburan dipasang di tiang-tiang lampu. Pokok-pokok pula dipasang dengan jala-jala yang akan bercahaya apabila malam sampai.

Apabila ini dilakukan maka saya ketawa sinis. Jangan salah anggap. Ini bukan kerana saya tidak patriotik. Tetapi siapa yang sebenarnya hendak kita “tipu”. Kita “menipu” dengan harapan para pelawat ini akan menyangka bahawa Kuala Lumpur ini kota yang indah tersusun dan permai. Ingatlah - Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura atau Burma, semuanya negara diperintah oleh rejim dunia ketiga. Semua negara ini bercelaru. Paling menyeronokkan lagi - semua rejim-rejim ini juga telah melakukan “trick” yang sama apabila ada persidangan antarabangsa berlaku di negara mereka. Hakikatnya semua kepala negara Asean dan para jemputan ini tahu apa sebenarnya berlaku.

Jadi, pada hemat saya kita tidak perlu terus menggunakan nilai Felda ini. Apabila ada tetamu ingin datang bertandang maka kita pun kelam kabut mengemas rumah. Mengganti langsir baru. Kain dan kotak-kotak buruk dimasukkan ke bawah katil. Halaman rumah disapu. Bantal-bantal yang bertapuk-tapuk dengan air liur basi kita ganti dengan sampul yang baru. Ini kerja bodoh kerana yang kita tipu ialah diri kita sendiri. Mustahil pelawat-pelawat dari negara dunia ketiga ini tidak tahu apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur ini.

Pernah pada tahun 1972 ( ketika itu saya pelajar di Universiti Malaya), satu persidangan PATA (Pacific Asia Travel Association) telah berlangsung di Kuala Lumpur. Para pelawat akan turun dari lapangan terbang Subang dan akan melintasi Jalan Bangsar untuk menuju ke pusat kota. Ketika ini di tepi rel di Jalan Bangsar terdapat rumah-rumah buruh kereta api. Apa yang telah dilakukan pada masa itu ialah mendirikan dinding-dinding buluh untuk menutup rumah-rumah buruh miskin dari dilihat umum.

Hari ini perangai yang sama masih lagi berlaku. Jika sesiapa mengambil kereta api pantas dari KLIA menuju ke Stesen Sentral perhatikan dengan cermat di sebelah kiri sebelum memasuki kawasan Serdang. Pasti akan dapat dilihat besi-besi tercacak berdiri seperti arca moden art yang dipasang di tepi rel kereta api. Ini sebenarnya bukan kerja seni tetapi tiang-tiang besi yang dipasang untuk melindungi pelawat luar negara dari melihat perkampungan setinggan di kawasan ini.

Satu lagi ciri unggul nilai Felda ialah apabila harga minyak sawit atau harga getah naik maka para peneroka akan turun ke bandar. Tanpa perkiraan belanjawan yang rapi para peneroka ini akan “gila-gila” membeli belah perabot. Sama ada perabot, radio, almari ini diperlukan atau tidak bukan persoalan. Yang penting barang-barang ini dibeli. Mereka tidak menyangka bahawa satu ketika nanti harga sawit mungkin juga akan turun.

Secara metafora nilai Felda ini sedang berjalan dalam atur cara pentadbiran kerajaan kita hari ini. Tanpa banyak perhitungan ketika harga minyak mentah petrol mahal maka kita mula mendirikan bangunan yang gah-gah. Senjata dan kapal perang yang baru kita pesan. Kapal terbang pejuang yang tercanggih kita cari untuk dibeli. Kenapa kita tidak perhitungkan apakah duit yang sama ini akan lebih bermanfaat jika digunakan untuk membina sekolah, kolej, universiti atau melengkapi setiap pekan kecil dengan sebuah perpustakaan. Atau menyediakan setiap hospital dalam negara ini beberapa buah alat dililis untuk membersihkan buah pinggang yang sering menjadi masalah ketika ini.

Bila para tetamu dari persidangan Asean ini pulang nanti, maka kita akan menjadi diri kita kembali. Bunga-bunga yang terpasang indah ini akan mati kering. Dawai-dawai pengikat bendera dan banting itu akan berkarat. Cuma batu bata di kaki lima itu tidak akan dipungut seperti yang berlaku kepada tilam dunlopilo di Felda Labu dahulu. Jika batu bata di pavement ini pecah, maka warga kota Kuala Lumpur wajib menunggu satu lagi persidangan antarabangsa, sebelum ianya diperbaiki. Sampai bila agaknya nilai Felda menipu diri sendiri ini akan berterusan dalam budaya kita?

END

One Comment, Comment or Ping

  1. Gorechestra

    The Government of Indonesia, The Pemerintah Propinsi Jawa Barat to be precise, allocated a hefty sum of money towards beautification of Kota Madya Bandung, where the Konferensi Asia-Afrika took place a few months back.

    meanwhile in Leuwigajah landfill, where the landslide took place, the villagers lost their families and properties, patiently waiting for money promised by the provincial government to be allocated as a compensation.

    Now the Konferensi is over, and Bandung roadsides turned back to be waste dumpsite and grafitti galeries.

    But still the people of Leuwigajah still counting on the said promise.

What do you think, boss? Write your comment...

You must be logged in to post a comment.