Hishamuddin Rais: Dimana Perginya Katak Hijau Itu?

DIMANA PERGINYA KATAK HIJAU ITU?
oleh Hishamuddin Rais
Saya dibesarkan di Jelebu yang pada satu ketika dahulu dianggap kawasan pendalaman yang agak ulu. Konsep – Jelebu sebagai kawasan pendalaman - kami terima kerana pada satu ketika dahulu daerah kami adalah tempat di mana orang-orang jahat - gedebe dan gengster - di buang daerah. Dalam daerah pendalaman kami terdapat kawasan-kawasan bergunung ganang dan lembah-lembah hijau yang subur. Jelebu tersuruk dicelah-celah di kaki Banjaran Titiwangsa.
Di lereng-lereng bukit tertanam pokok-pokok getah. Di kawasan lembah di mana batang Sungai Klawang mengalir ke Sungai Pahang terdapat kawasan perkampungan sawah padi. Di musim menanam padi akan kelihatan beribu-ribu burung Tempua berpindah randah membuat sarang di sekitar kawasan sawah. Sarang mereka bergantungan di atas pohon rumbia atau pokok-pokok yang berhampiran dengan sawah. Burung-burung Pucung pula sering berkeliaran mencari belalang dan ulat serangga. Sesekali ternampak juga burung Bangau mencari anak –anak ikan.
Saya juga selalu ternampak burung Butbut – yang terbang rendah di pinggir kawasan sawah. Burung ini sering disurahkan sebagai memiliki rahsia untuk mengubat tulang yang patah atau seliuh. Manakala di dalam sawah pula akan ditemui pelbagai jenis ikan air tawar – sembilang, keli, puyu, sepat dan haruan. Di antara lopak-lopak sawah ini, jika ada lubuk-lubuk kecil pasti ianya akan menjadi tempat ikan bersarang. Di kawasan lubuk ini juga pasti ada lagi satu makhluk – katak hijau.
Ini bukan saya bernostalgia dan mengelamun tentang kampung. Saya menulis ini kerana pada hari ini semua yang saya tulis ini tidak lagi wujud di Jelebu. Sawah telah kering. Ada yang menjadi belukar. Ada yang dijadikan tapak rumah. Ada juga dijadikan kawasan kebun. Aliran air sungai pula semakin susut. Airnya masih jernih tetapi tidak lumayan seperti satu ketika dahulu.
Lalu saya bertanya ke mana perginya pelbagai jenis burung-burung yang pernah saya nampak dahulu. Di mana mereka mencari makan dan bersarang. Dan ke mana perginya katak hijau yang telah gagal menampilkan diri. Saya telah gagal melihatnya saya hampir 35 tahun. Apa telah terjadi? Saya selalu berfikir dan ingin mencari jawapan.
Bila teringatkan katak hijau ini saya teringat kembali kepada Amerika Latin. Saya sebenarnya tidak pernah sampai ke Amerika Latin. Tetapi pada tahun 1992 dahulu saya pernah menjadi pembantu penyunting sebuah filem dokumentari – Message from Elder Brothers - untuk stesen tv BBC. Filem ini ialah tentang masyarakat Kogi yang tinggal di atas banjaran pergunungan Andes di Amerika Latin. Masyarakat Kogi mengakui bahawa diri mereka adalah abang-abang tua kepada kita semua. Ini kerana mereka tinggal di kawasan pergunungan bersalji yang paling tinggi.
Melalui filem ini mereka ingin menyampaikan satu pesanan penting dan satu peringatan untuk adik-adik mereka ( kita semua ) yang tinggal di bawah gunung. Abang kita ini mengingatkan kita untuk berwaspada kerana salji semakin berkurangan di pergunungan Andes. Menurut abang tua kita, ini satu petanda yang tidak baik.
Filem dokumentari ini dibuat hampir 15 tahun dahulu. Rasa saya memang tidak ramai penonton yang ambil peduli. Ada yang menganggap dokumentri ini sebagai hiburan ringan. Tetapi ketika saya memotong filem ini saya dapat merasakan betapa pentingnya pesanan yang disampaikan oleh masyarakat Kogi ini. Pesanan ini mengingatkan saya kembali kepada masyarakat Maya yang telah mendirikan tamadun mereka di Amerika Latin. Tamadun ini cukup anggun dan tersebar luas. Pada zaman keagungan tamadun ini wujud 50 juta warga Maya. Mereka memiliki tulisan, mengetahui ilmu alam, ilmu bintang dan telah berjaya mendirikan kota-kota yang indah permai. Tamadun ini runtuh dan berakhir di antara 800/900 AD.
Bila kita melihat kembali kota-kota kuno tamadun Maya pasti ada di antara kita yang akan berani dan angkuh berkata – kenapa orang Maya ini bebal sangat memotong semua pokok-pokok di sekeliling wilayah mereka !
Lalu saya berfikir, tamadun Maya yang anggun lagi hebat itu pasti tidak runtuh dalam sekelip mata. Ianya bukan dilanda gunung berapi seperti kota Pompeii atau dilanggar tsunami seperti kota Acheh. Keruntuhan tamadun Maya pasti mengambil masa beratus tahun. Sedikit demi sedikit tamadun ini tergelincir tanpa disedari. Pasti wujud tanda-tanda awal tetapi mungkin telah tidak dipedulikan oleh orang-orang Maya pada ketika itu. Mereka tidak ambil ‘pot’ atau mereka gagal memahami tanda-tanda ini.
Apa yang sedang terjadi di daerah Jelebu pada ketika ini mungkin tanda-tanda awal. Burung Tempua, Butbut, Puyuh, Pucung dan Bangau yang telah tidak saya lihat lagi mungkin satu penanda. Ke mana agaknya burung-burung ini menghilangkan diri. Apakah mereka telah berpindah. Atau apakah spesies mereka telah pupus. Saya belum menemui jawapan. Malah saya belum pernah terbaca satu kajian untuk dapat menjawab kepada soalan saya ini.
Bila saya pulang ke kampung, orang kampung sering berkata bahawa musim telah berubah. Hujan dan panas datang tidak tentu masa. Musim buah pun telah susah hendak ditentukan. Jelebu yang biasanya kering pada bulan April, May dan Jun kini selalu pula hujan. Hakikatnya cuaca alam telah berubah.
Saya rasa kita semua amat sedar tentang perubahan cuaca ini. Hanya kita masih belum sedar apakah makna yang akan dibawa oleh tanda-tanda dari perubahan ini. Suhu cuaca semakin naik – ini telah menjadi pengetahuan umum. Hujan tidak lagi mengikut musim. Perubahan bukan hanya terjadi di Jelebu. Banjir melanda di sana sini - bukan hanya di Kelantan. Kejadian perubahan cuaca ini bukan khusus kepada satu wilayah, sebuah mukim atau satu negara tetapi keseluruhan dunia hari ini sedang mengalami perubahan kenaikan suhu cuaca.
Bulan lalu Eropah telah di landa banjir. Sungai terpanjang di Eropah – Sungai Danube – melimpah. Sungai Meuse di Belgium melimpah sama. Dalam masa yang sama di Afrika Tengah musim kering terus memanjang. Kemudian saya terbaca tentang Orang Asli di Pahang membantah kerana hutan dara di wilayah kediaman mereka dipotong balaknya. Di Kedah Hutan Belum yang berumur 300 juta tahun kini sedang diancam oleh pembalakan haram.
Kemudian saya juga terbaca pula tentang bagaimana pada hari ini botol dan sampah plastik didapati lebih banyak terapung dari plankton di dalam laut. Ini pasti menyusahkan ikan. Saya juga ada terbaca bagaimana banyak burung Belibis ( seagull) telah ditemui mati tercekik kerana mereka telah menyambar sampah plastik yang terapung di permukaan laut. Malah anak-anak burung ini juga didapati mati di sarang kerana diberi makan sampah plastik oleh ibu mereka.
Semua berita ini boleh kita baca dalam akhbar harian kita. Sekali imbas ianya hanyalah satu laporan berita. Orang Asli di Bera pasti tidak ada hubungan dengan Sungai Danube. Masyarakat Kogi di Andes tidak ada kena mengena dengan burung Butbut di Jelebu. Mungkin berita burung Belibis makan plastik amat melucukan tetapi apa pula hubungannya dengan buah durian di kampung saya.
Tetapi jika direnungkan dan gunakan sedikit buah fikiran maka kita akan dapat melihat satu gambaran yang lebih jelas dan besar. Kita cantumkan semua berita-berita ini. Kita letakkan berita-berita ini dalam satu peta. Maka saya rasa kita semua akan dapat melihat bahawa semua berita-berita ini adalah tanda-tanda awal bahawa tamadun kita hari ini sedang dalam kesakitan.
Perubahan suhu cuaca yang sedang berlaku hari ini akan membawa satu akibat yang menggerunkan bukan sahaja kepada burung, katak, atau binatang tetapi untuk semua makhluk dalam dunia ini. Perubahan ini adalah perbuatan kita sendiri. Kita semua warga dunia bertanggung jawab menebang pokok, menggali bumi, meledakkan gunung dan akhirnya menaikkan suhu cuaca.
Kita jugalah yang membakar minyak petrol sambil memanaskan bumi kerana kita ingin bergerak ke hulu ke hilir. Manusia – kita semua - bertanggung jawab mencemarkan udara dengan bom atom, bom nuklear, dan membuang segala macam sampah kimia yang mengotorkan wilayah kita sendiri.
Hasilnya, katak hijau yang pada satu ketika dulu saya anggap sebagai teman kini telah menghilangkan diri. Katak hijau ini menjadi teman kerana si katak ini adalah tanda untuk saya mengenali lubuk mana yang dipenuhi dengan ikan. Jika lubuk itu kelihatan didiami oleh banyak katak hijau ertinya banyak ikan di dalamnya. Lubuk yang ini baik untuk saya memasang tajur. Bila si katak hijau ini menghilangkan diri, saya melihat ini sebagai satu peringatan probadi untuk diri saya.
Peringatan bahawa tamadun moden yang berasakan kebendaan ini telah memisahkan saya dengan alam. Tamadun moden ini juga telah memisahkan antara kita sesama kita. Seperti tamadun Maya yang runtuh kerana hutan-hutan ditebang, lembah menjadi keing dan akhirnya panen gagal. Saya membaca semua yang sedang berlaku hari ini adalah tanda-tanda peringatan yang
telah datang kepada kita semua. Hanya kita yang lalai dan gagal memahaminya. Katak hijau itu, sama seperti masyarakat Kogi di Amerika Latin sedang cuba memberi tahu sesuatu kepada saya.
Mungkin ada orang yang akan ketawa kerana teman yang memberi ingatan hanyalah seekor katak hijau dari sebuah lubuk di Jelebu. Tetapi pada ketika ini saya lebih yakin tentang tanda dan makna melalui berita yang dibawa oleh seekor katak, walau pun dia telah lama hilang. Ini kerana saya amat mengenali kejujurannya peranannya. Binatang, burung, serangga dan katak tidak pernah berdusta dengan alam.
END


9 Comments, Comment or Ping
zaim
Ok, saya ada satu pengakuan … saya selalunya baca pasal global warming/climate change dari blog/website orang putih, e.g worldchanging.com, realclimate.org. Reaksi saya selalunya sama: rasa sedih, bimbang, etc. etc. tapi lepas beberapa hari (kadang2 beberapa jam) saya lupa langsung… Sebab apa yg saya baca adalah tentang kesan2 global warming di Amerika, UK, etc. di tempat-tempat jauh yg tiada kena-mengena dengan saya.
Tapi kali ni, buat kali pertamanya bagi saya, saya baca sesuatu tentang climate change yg merujuk kepada Jelebu. Yang ada berkenaan dgn Katak Hijau, sawah padi,, Sungai Klawang dan Sungai Pahang. Yang dalam Bahasa Melayu. Dalam weblog ber-URL kerbau.com yang pasal music underground Malaysia.
Kali ni, ada kemungkinan besar yang saya tak akan lupa… :-)
May 6th, 2006
azizi kabut
kampung saya masih ada sawah tapi tidak semeriah dulu..baru2 ini ada individu bebal yg menjual tanah yg dulunya bukit kepada seorang pemborong tanah…bila ada yg membangkang diberi alasan tanah itu miliknya dia bebas melakukan apa saja…di kampung saya juga burung wak2 tidak lagi kerap kelihatan seperti dulu.tempat yg dulunya kawasan saya memancing sudah pincang dikorek2 ..apa yg ada hanyalah kenangan yg tidak mungkin akan kembali.
May 6th, 2006
xnizangx
ricecooker is like a punk rock webzine. punk rock is not just music. it’s life.
May 9th, 2006
ritzharris
well, truly i have learn a lot of thing from past of my life.. maybe some people do think it was just a “news” but they never ever thinking about the effect that they would received from that.. oh my goodnes, is the environment should be like this? and i have learn some of the subject matter called as intergrated environment planning management.. thus it make me thinking, am i do study this subject is just for learning only? am i do study the subject just as to complete my bachelors degre? is myself encourage the information on what i’ve study? it’s still questioning me until now.. and i’m still discover why it still happen? yeah, a lot of people do say, save the environment.. stop the pollution.. keep our river clean and so on but the act are rarely to be taken as a part of their life.. did they notice all of climates changes that they face everyday, every minutes, even every second.. did they feel how ‘hot’ they are when they walk around? people, while we do say all those nice words and we never applied to do it all on ourself means we are not like to learn anything about life.. some people do deny me why i’m not smoke any cigarrates? and they began laughing at me.. i have my own reason for all of these.. it’s caused by the smoke doesn’t fit with myself and the main reason is while you’re smoke it will pollute the people around you and at the same time the environment will get harm from you.. so i did rather to stop all those matter apart from myself, the small scale.. while some of us may say; “sorry, it’s not my task to do all cleaning” or any type a couch of potatoes activity which means we are being as lazy as we are and become very tidy people /community.. okay, imagine if you are being tidy and all people around you have same attitude.. so what will going on? u will get the answers right.. from now do clean up yourself, your own places, your own house, your own room, etc etc to ensure that the environment never harm.. then we can start with the big scale.. from the development which also bring a lot of problem to the flora and fauna that live together in the biosphere.. we are not only talk about global warming, global sink, pollution in europe, pollution in u.s or chernobyls’ radioactive pollution, but we did talk about ourself.. yes, if we are not contribute a lot of polluiton, maybe the world never being like this.. yes, we can do the development but we need to being carried with the need of environment because we need the environment and the environment need us too.. it’s mean the relationship of us and the environment are stronger over the million years existence of human and galaxy.. the digging, mining, construction, industry activity etc etc that can give an effect to environment should be controlled plus they should known on what they did and what the effect they will receive now and future.. and i’m sure one day you will pay to get the clean oxygen to breath if we are never take any step to care our environment and our life.. the flora and fauna will reduced drasticly and none of next generation will see it lively.. only the android and mechanical fauna/flora will replace for those missing previous generations.. and the gaskmask will be with us forever because we are shortage with the clean air and water..
p/s; sorry for the silly language that has been written in here, maybe it’s coming from the low type mind of myself.. :-P
May 10th, 2006
Joe Kidd
I’m guilty of the above. I smoke. I eat meat. I throw the occassional cigarette butts of of my girlfriend’s car. Of course, I did it all not without the feeling of guilt though.
Recently we discovered a supermarket in Bangsar which sells this huge green bag for groceries, meaning that carrying that bag with you for shopping will reduce your wasteful nature of taking everything back in loads of useless and non-biodegradable plastic bags. And so we bought two of em and started to use it whenever we go to the supermart. Pretty handy. We’ve also started to separate the trash in our house a bit. Glass bottles and cans in different boxes; the problem there is that we don’t have separate recyclable bins outside of our house.
When the Japanese fastcore band Vivisick came here and stayed at my place, the vocalist gave me this small plastic pouch which is lined with aluminium on the inside. It’s used to store your cigarette butts! Ingenious idea that one. What you do is carry that small pouch everywhere you go and stub the cigarettes inside there, instead of throwing it around. Problem is I always forgot to bring it along with me!
Anyway, I’m trying hard to get out of those bad habits and will continue on doing so.
cheers,
Joe
May 10th, 2006
ritzharris
hye mr joe, yeah you are right.. i agree with your statement.. i’m also did sperate the trash but as what you say, the huge problem is no any seperate recycle bin.. actually most of those bins are put somewhere as local authority call it attraction place.. but totally i’m not agree with them because they should put it at the reseidential area where people staying and socialising.. and i’m also notice since my primary, i’ve never been told how to seperate those trash and how to throw thrash at the right bin.. as people says, the experience is great teacher of life.. huhuhu, while i’m goin’ chill out to some of famous places and low-profile places, i did see the differences between managament especially the cleanliness management.. i mean, the authority more concern to care the most valuable places rather than the lowest one.. of course the profits will go their pockets.. actually, our government did realise the environment is harm but they still allow the forestry activity as what have happen to Belum forest.. and i have visit my site study area at Hulu Langat which is lack of green area and for people who love to swim at the Sungai Gabai Waterfall is never like a few days back.. the water flow slowly and look like it will dead anytime soon.. ha! you know what have happen to the residential area at cheras?.. yes, the landslope.. most of resident are afraid about it and it’s look like the tragedy of Highland Tower Condominium will happen again.. a few month back, Shah Alam got a big flood.. KL? no need to tell (so get ready with your life jacket when walk around KL.. :P).. and there’s a lot of mistake that we make on this world.. and then we still cross the finger to ecah other because we are never realise that is our fault.. the fault we made from our attitude which exist with greediness..
p/s; sorry again for unintelligent statement from me, i’m so small in this world..
May 10th, 2006
penatabahlara
benar…ada kebenarannya tentang apa yang tuan perkatakan…saya dibesarkan di Jelebu (dilahirkan di Kedah kerana abah seorang tentera…saya kira pekerjaan yang tidak asing lagi bagi orang dulu-dulu) , tetapi Jelebu (di kg.chennah lebih tepatnya) lebih memberikan satu kerinduan kepada saya…Saya masih ingat dulu sewaktu kecil saya sering mengikut sepupu-sepupu saya memasang Joran di lombong…memasang jerat burung wak-wak…mandi manda di Jeram Gading…dan yang paling saya rindukan adalah suasana senjanya yang nyaman…di waktu senjalah saya dan kakak saya sibuk meneroka desa mencari kambing peliharaan untuk dihalau masuk ke kandang….diwaktu malam ada masa2nya sepupu2 ligat menyuluh katak untuk dijual kepada orang cina….suasana malam dahulunya riuh dengan unggas malam dan bila cuaca sejuk sunyi bersulam pula dengan sahutan sang katak… Indah dan damai sewaktu itu…
Dulu kampung yang kecil sebegitu seperti terasa kepadatan penduduknya…saya selalu terbayangkan emak dan jiran2 kampung (yang kebanyakannya sepupu emak) duduk di beranda tangga rumah atau di pangkin bawah pokok jambu air sambil makan “jemput-jemput” sambil berbual (atau lebih pantas bergossip…)….saya terbayangkan abah pulang dari menoreh setiap tengahari dan kami terkejar2 dan menjerit2 menyambut abah (padahal kami tahu abah tak suka namanya dilaung2kan sebegitu…)…Ada masa2nya kami adik beradik bermain congkak dibawah rumah ( lubang congkak dikorek atas tanah dan buah congkak adalah batu2an…) memang mengotorkan tangan tetapi itulah yang menyeronokkan dan menjadi satu lagi kerinduan saya…
Sewaktu petang pula sungai akan riuh rendah dengan suara manusia…bukannya apa walaupun bekalan air paip sudah ada tetapi mandi manda di sungai sudah jadi satu aktiviti bagi kami…panjat ke tebing terjun ke sungai dengan pelbagai aksi….dan bila balik dari sungai dalam keadaan basah kuyup perlu pula mengadap emak yang sedia menanti dengan rotan di tangan..mana taknya hari-hari emak pesan “lepas mengaji kang terus balink rumah…jangan nak pergi mandi sungai…” dan ayat ini jugalah yang selalu aku gunakan pada emak sekarang kerana emak mengajar budak mengaji di masjid dan bila aku balik bercuti setiap kali emak nak ke masjid mengajar mengaji aku pula yang berpesan “hah…tu kang lepas ajar orang mengaji terus balik rumah jangan nak pergi mandi sungai…” dan emak ketawa… Barangkali emak juga merindui suasana yang dulu….
Dulu bila Ramadhan seronok rasanya bertarawikh beramai2, bergilir2 jiran kampung membawa “moreh”…dan sewaktu 7 likur rata2 rumah memasang pelita atau pancur buluh sekeliling rumah…cantik permandangan malam yang bercahaya sebegitu…tapi sekarang aku kira hanya abah saja yang masih melakukannya yang lain2 lebih selesa dengan lampu “kelip-kelip” berwarna warni…
kalau dulu malam Syawal seronok melihat jemaah masjid bertandang dari rumah ke rumah untuk bertakbir dan malam itu juga riuh rendah bunyi tembakan meriam buluh dari arah sungai (budak2 kampung bermain meriam buluh sambil bertanding meriam siapa yang lebih kuat bunyinya…)…tetapi sekarang suasana malam Syawal di sini sunyi…bahkan semakin kurang rasanya penghuni di sini…yang tinggal hanya kaum ibu bapa yang dah tua…yang muda2 sudah berhijrah ke kota dan jarang2 pulang ke desa ini…Kampung kami Kg. Chennah sudah tiada istimewanya lagi… sudah hilang indah dan damai yang pernah saya lalui sewaktu kecil dulu…
Benar…masa merubah segalanya… Sungai dan jeram sudah tidak sejernih dulu…bahkan semakin cetek dan mengecil…Lombong juga sudah tertimbus…Yang masih ada hanyalah kehijauan pokok2 getah di lereng2 bukit sekeliling kampung ini…tapi hijaunya pun sudah tidak serimbun dulu…
Maka kerana itu saya fikirkan…saya juga seperti tuan…seringkali mengimbau kenangan sewaktu kecil2 dulu…dan entah kenapa saya sering berfikir “alangkah bagusnya kalau perasaan damai di sini masih wujud seperti dulu…” tetapi pantaskah untuk kita meinginkan kembali sesuatu yang telah hilang rupa bentuk, paras dan indahnya…yang ada cuma mungkin perasaan rindu kita…tetapi beginilah hidup…segalanya takkan kekal lama…yang ada cuma kenangan dan kerinduan…
Salam PErmisi…
Jun 24th, 2006
proximara
i’m just get cryin when i’m read Mr Penatabahlara story..i am also dream of that situation…
Mar 1st, 2007
myo
…
sedih
Mar 1st, 2007
What do you think, boss? Write your comment...
You must be logged in to post a comment.