Yunus Ali: Saddam – Pembunuhan Pemimpin di Iraq

image

Saddam: Pembunuhan Pemimpin di Iraq
oleh Yunus Ali / via Black in South Korea

Maka matilah Saddam Hussein di tali gantung pada 30hb Jan.2006 bersamaan Hari Raya Qorban (dirayakan di Iraq sehari lebih awal dari Malaysia).

Saddam ini bukannya pula baik orangnya, dia ini adalah seorang despot yang menaiki kuasa melalui kekerasan senjata dan pembunuhan. Tetapi jika diperhatikan sejarah di tanah bernama Iraq ini, kita akan dapati satu aspek pergolakan kuasa yang ganas, berdarah dan ngeri.

Zaman Khalifah


Saidinar Ali mati ditikam oleh pembunuh dari golongan Khawarij di Kufah, Iraq. Anaknya pula, Hussein (cucu nabi Mohamad s.a.w) dipenggal lehernya di Karbala, juga Iraq, kepala diletakkan ke atas dulang untuk dipersembahkan pada Yazid (anak Muawiyah anak Abu Sufian musuh Mohamad ketika Islam bermula di Mekah) yang bertakhta di Damsyik.

Maka berkuasalah dinasti Omayyah di seluruh tanah Arab, namun tanah Iraq tidaklah aman walaupun di kuasa oleh dinasti Omayyah itu yang diasaskan oleh Muawiyah dari Damsyik. Keadaan masa itu sepertilah yang dialami oleh tentera Amerika di Iraq sekarang ini.

Akhirnya, penentangan dari Iraq itu dapat menggulingkan dinasti Omayyah di Damsyik, dan sebagai gantinya maka didirikanlah dinasti Abassiah di Baghdad yang menguasai seluruh tanah Arab/Islam, kecuali serpihan Omayyah yang masih berkuasa di Andalusia (Sepanyol hari ini).

Maka Iraq pun di perintah oleh dinasti Abassiah sekian lama. Bukan dengan cara demokrasi, tetapi secara despotik (kekerasan). Benar, di zaman Abassiah berlakunya kegemilangan ilmu sastera dan sains (Seribu Satu Malam, Al-Kemi, Al-Gebra…) yang kemudiannya mempolopori Zaman Kecerahan di Eropah. Namun ramai juga ulama yang di penjara, disiksa dan dibunuh oleh raja-raja dinasti Abassiah – mazhab lawan mazhab, pro-sufi anti-sufi, zaman itulah juga.

Mongol

Maka pada satu hari di bulan Februari tahun 1258 sampailah Hulagu Khan anak Kublai Khan anak Genghiz Khan dari Mongolia menjajah kota Baghdad, Dinasti Abassiah jadi porak poranda – kota Baghdad dibakar, kitab-kitab dihumban ke sungai Dujlah sehingga hitam airnya dilarut dakwat. Dan Al-Muktasim, raja Abassiah ketika itu, dibungkuskan di dalam hamparan permaidani lalu di hinjak-hinjak oleh kuda-kuda perang Mongol.

Semua kaum leluarga si Al-Muktasim ini di bunuh oleh Hulagu Khan kecuali seorang anak lelaki dan seorang anak perempuannya yang dijadikan hamba sahaya dan dihantar ke Mongolia. Jadi ada agaknya benih kaum Quraish Bani Hashim (Abassiah keturunan daripada Abas, bapa saudara nabi Mohamad s.a.w) yang bertabur di Mongolia. Saka itulah agaknya yang memikat dan memerangkap baginda dari Malaysia hingga menggunakan bom C4.

Yang syoknya pula, Hulagu Khan ni pula mati di tangan adiknya sendiri. Ceritanya begini. Berke Khan saudara Hulagu ini sebelumnya telah pun memeluk agama Islam. Maka amatlah murka beliau apabila dikhabarkan kepadanya bahawa Al-Muktasim, serumpun sedarah daging nabi, dibunuh sebegitu rupa oleh Hulagu Khan. Maka Hulagu itu diperangilah oleh Berke sehingga kalahlah tentera Hulagu dan akhirnya Hulagu mati dibunuh di medan perang.

British

Kita fast forward pula di zaman moden ini. British masuk ke Iraq dalam tahun 1918 selepas Perang Dunia 2 setelah robohnya dinasti Othmaniah (di Turkey yang kontrol Iraq masa itu). Seperti biasa, British angkatlah tok Arab, yang kononnya dari Bani Hashim keturunan nabi, untuk menjadi raja di Iraq. Statusnya samalah dengan raja-raja Melayu zaman British di Malaya.

Raja Feisal namanya (nama sama dengan Raja Feisal al-Saud yang ditembak mati oleh anak saudaranya di Riyadh) mati ditembak oleh pemberontak Iraq. British naikkan pula anaknya Raja Farouk (sama nama dengan Raja Farouk di Mesir konco British yang diguling oleh Presiden Nasir), tetapi dapat juga diguling oleh pemberontak Iraq. Dia diikat hidup dan di seret dengan landrover (jeep buatan British) di jalanraya kota Baghdad, sehinggalah tinggal tulang saja. Ini dicerita oleh arwah bapa saudara saya sendiri, ketika kejadian itu dia tinggal di Baghdad belajar di sana.

Lepas zaman raja-raja boneka British, naiklah pula golongan tentera sebagai elit pemerintah di Iraq. Brigadier Abdul-Karim Qassem dan Kolonel Abdul Salam Arif merampas kuasa. Tetapi kapal tak boleh ada dua nakhoda, Si Karim ini dapat mengatasi Arif, Arif kalah dan dipenjarakan.

Awal Saddam

Di era ini Saddam sedang remaja dan menjadi aktivis Parti Baath Arab (berideologi nasionalis-sosialis yang diasaskan oleh Michael Aflak). Namun awal-awal lagi Saddam ini sudah menjadi talibarut CIA yang menyusup ke dalam Parti Baath. Amerika ini berminat dengan Baath kerana pertamanya ia anti-British dan Amerika mahu mengaut kepentingan dari bekas-bekas jejahan British. Brigadier Si Abdul Karim ini pula, presiden Iraq ketika itu pro Russia. Dalam keadaan Perang Dingin, Parti Baath yang nasionalis itu bolehlah dianggap sekutu oleh CIA, apatah lagi Saddam sudah menjadi budak upahan Amerika. Apakah tidaknya, ketika Saddam lari dari Iraq ke Mesir, makan- minum, duit poket dan sehingga belanja kahwin dengan sepupunya Sejada pun ditanggung oleh CIA.

Saddam berjaya diseludupkan kembali ke Iraq, dan Parti Baath merancang untuk menggulingkan Abdul Karim. Akhirnya Abdul Karim dapat ditembak mati dengan serangan hendap di kota Baghdad oleh aktivis-aktivis Parti Baath. Saddam Hussein mengaku beliau sendiri yang memesinggan konvoy Abdul Karim, dan mitos ini diabadikan ke dalam sebuah filem. Ala gangster Chicagolah juga.

Kolonel Abdul Salam Arif, yang ketika itu pro Parti Baath, dikeluarkan dari penjara dan dinaikkan jadi Presiden Iraq. Tetapi beransur-ansur pula pihak pimpinan tentera yang pro-Baath disingkirkan oleh Abdul Salam Arif, sehinggalah Abdul Salam Arif digulingkan oleh seorang jeneral dari Parti Baath Ahmad Hassan Al-Bakar Al-Tikriti namanya, kroni Saddam sendiri.

Kuatlah Saddam, dialah Setiausaha Agung Parti Baath Iraq (berpecah dengan Baath di Syria) merangkap Timbalan Presiden Iraq. Masa ini ramailah ketua-ketua tertinggi Parti Baath di Iraq yang dibunuh oleh Saddam – kerana syak wasangka pro Baath Syria dan juga yang tidak menyokong Saddam dan kronisme Al-Tikriti.

Saddam Memerintah

Dalam tahun 1979 Saddam mengambil alih kuasa dari Hassan Al-Bakar. Ketika di bawah pemerintahan Saddam ini, ramailah juga Rakyat Iraq yang disembelihnya. Kaum Kurdis, bawah pimpinan Barzani, mula-mula bekerjasama dengan Parti Baath dan Saddam. Tetapi Barzani ini rapat pula dengan Russia. Agaknya, setelah dibisik oleh CIA, maka puak Kurdis diperangi oleh Saddam dan ramailah yang disembelihnya.

Selepas Perang Arab-Israel 1973, Iraq telah menjalingkan hubungan rapat dengan Russia dengan tujuan untuk mendapatkan bekalan senjata dari situ. Sebagai tukarannya, Parti Komunis Iraq diberi kongsi kuasa oleh parti Baath di bawah pemerintahan Hassan Al-Bakar. Tetapi setelah tali barut CIA Saddam Hussein ini mengambil alih kuasa di Iraq, mereka juga disembelih mati. Yang anti-komunis jangan bersorak, baca pula cerita berikutnya.

Kenaikkan Saddam ke atas singgahsana pemerintahan di Iraq berselaras dengan kenaikan Revolusi Islam Khomeini di Iran. Revolusi Islam dan Khomeini ini anti-imperialis Amerika tidaklah terkira semangatnya, macam komunislah juga.

Hei, konco CIA bertakhta di Baghdad, ini kad yang boleh digunakan. Dengan bantuan senjata dari Amerika Syarikat pula, Saddam mengisytahar perang ke atas Iran yang anti-Amerika itu. Lapan tahun berperang, seinci tanah yang diidamkan Saddam pun tak dapat. Beratus ribu rakyat Islam Arab dan Iran mati sia-sia. Tak kurang ramai tentera Iran yang mati digas beracun (mustard yang dibekalkan dari Amerika) oleh Saddam. Termasuklah juga rakyat Kurdish kerana memberontak melawan Saddam – mereka dibunuh dengan gas racun dan juga ditembak mati, yang sudah pun dijadikan kes untuk menggantung mati Saddam.

Saddam gagal dalam peperangan dengan Iran. Hutang bertampuk berbilion dollar. terutamanya pada Kuwait. Kuwait bagaikan ceti menuntut hutang, minyak Iraq dikatakan disedut oleh Kuwait melalui telaga minyak yang sempadannya masih samar-samar. Saddam mengadu hal kepada duta Amerika di Baghdad, duta itu memberitahu Saddam bahawa masalah sempadan Kuwait-Iraq di luar kepentingan Amerika – seperti memasang jerat sahaja.

Dengan senangnya Saddam menakluki Kuwait. Tetapi Kuwait ini pun boneka Amerikalah juga. Saddam ini, walaupun boneka CIA, tapi dia ini anti-Israel pula, tidaklah boleh dipercaya sangat, malah lobi Zionis di Washington sudah lama bertungkus lumus untuk mendapatkan Amerika menggulingkan Saddam.

Pilihan Amerika ialah antara Sheikh Al-Jabbar Kuwait yang tidak bertulang belakang lagi pengikut jari telunjuk Amerika dengan Saddam Hussein yang gila kuasa tak tentu hala tujunya. Amerika memilih Shiekh Al-Jabbar, maka Iraq pun diserang,

Amerika menang tetapi peliknya Saddam tidak pun digulingkan oleh Amerika. Kaum Syiah dan Kurdish dijanjikan bantuan Amerika jika mereka sendiri menggulingkan Saddam. Memberontaklah Syiah dan Kurdish, malang bagi mereka, pemberontakan itu mampu dihapuskan oleh Saddam, Amerika biarkan sahaja bak Si Luncai dengan labunya. Beribu-ribulah pula yang kena sembelih, termasuklah Imam Sadar, bapa kepada Sheikh Sadar yang kini mengetui pemberontakan kaum Syiah yang anti-Amerika.

Neo-con aka Zionis

Apabila Bush bertakhta di Amerika, berlaku pula peristiwa 9/11 dan neo-con aka zionis sangat berpengaruh dan berkuasa di Washington, maka Iraq & Saddam pun diheboh-hebohkan oleh propaganda mereka sebagai sebahagian daripada pengganas yang bersekongkol dengan Osama Ben Ladin.

Tetapi Saddam ini anti-pergerakan Islam, susah orang nak percaya dia ini member dengan Osama. Maka dihebohkan juga Saddam mempunyai Senjata Pemusnah Agung aka bom nuklear dan kemia. Walaupun pihak CIA memberi maklumat menafikan kesahihan hujah itu, tetapi tersangat berkuasanya neo-con aka zionis itu yang ada pada watak-watak seperti Dick Chiney, Wolforwitz, Runsfield, Condolisa Rice (puak yang didampingi Anuar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan, ketika ‘bekerja’ di Washington), maka Bush terdoronglah juga untuk memerangi dan menakluki Iraq.

Rupa-rupanya tidak ada bom nuclear dan kemia, neo-kon aka zionis hebahkan pula kononnya tentera Amerika berada di Iraq ialah untuk melakukan pertukaran rejim demi usaha mendemokrasikan Asia Barat. Sasaran berikutnya ialah Syria dan Iran – negara yang anti-Israel. Kuwait, negeri-negeri Teluk dan Saudi Arabia taklah perlu didemokrasikan kerana mereka ini boneka Amerika dan anti-Israel dilidah saja, tetapi secara rahsia yang bukan rahsia berunding dengan Israel.

Sejarah tidaklah mengikut sangat skrip Amerika. Iraq ini, sebagaimana disurahkan dia atas, ialah tanah pemberontakan dan pembunuhan. Jadi, lebih ramai tentera Amerika yang mati di Iraq daripada yang mati pada peristiwa 9/11 iaitu hampir 3,000 orang. Yang cedera pula, yang hilang kaki, yang hilang tangan, yang buta dan luka-luka tak kurang daripada 30,000 orang.

Pasca Saddam

Walaupun Saddam berjaya digantung mati oleh neo-con aka Zionis dengan kerjasama boneka bernama al-Maliki dan konco-konconya di Zon Hijau, tetapi Baghdad, Iraq dan rakyat Iraq tidaklah dapat dikuasai sepenuhnya oleh mana-mana pihak.

Pemberontakan dan pembunuhan rakyat dan ketua-ketuanya akan berlarutan di Iraq. Sebagaimana berlakunya pada Ali, Hussein, Al-Muktasim, Hulagu, Raja Feisal, Raja Farouk, Bregadier Abdul Karim Qasim dan Saddam Hussein; begitulah juga akan terjadi pada mana-mana ketua yang mengaku dirinya pemimpin Iraq, apatah lagi yang merangkap jadi boneka Amerika di bawah pengaruh zionis (walaupun tanpa neo-con lagi).

END.

Yunus Ali – 1hb Januari 2007