Rahmat Haron: Dia Sasterawan Rakyat, bukan lagi Sasterawan Negara!

Dia Sasterawan Rakyat, bukan lagi Sasterawan Negara!
oleh Rahmat Haron

“Saya sekarang mantan Sasterawan Negara,” tutur A. Samad Said. Syahdu. Itulah satu kata buat menjelaskan suasana petang Sabtu itu. Secepatnya acara baca puisi “Kata-kata” di Galeri R.A, Kuala Lumpur bertumpu dengan kenyataan keras pengarang ternama itu. Dia pengarang terakhir dijemput mempersembahkan karyanya. Segala persembahan lain, tiba-tiba tenggelam dengan kata-katanya. Aku yang pada mulanya tergelak terbahak dengan persembahan lagu Hannah T dendangan Tan Sei Hon yang penuh lelucon terus sebak dan marah mendengar kenyataan pengarang novel Salina itu.

Dia membuat kenyataan tersebut sebagai maklum balas terhadap isu buku teks baru untuk komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang dijangka guna tahun 2010 nanti.

“Tindakan tidak menyenaraikan karya SN dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru kerana Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran, mendapati sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar.” Begitu lapor akhbar Berita Harian 12 Januari 2008 lalu.

“PKK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar. Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka dalam Komsas,” lapor akhbar itu lagi.

Antara penulis yang bakal menggantikan teks sastera Melayu ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar. Menjadi hak mereka untuk menulis. Tetapi tak dapat aku menerima hakikat jika novel-novel seperti Budak Setan, Budak Rap dan Cinta Tiga Hari karya Ahadiat diangkat sebagai teks sastera untuk dipelajari di sekolah-sekolah.

Tak ada apa lagi yang aku mampu katakan lagi melainkan bebal, bingai, bodoh, sial dan banal! Beginilah cara orang bodoh mengaut keuntungan dengan rasuah dan penyelewengan kuasa. A. Samad Said yang mesra dengan gelaran Pak Samad kini bukan lagi sasterawan Negara, dia adalah Sasterawan Rakyat!

REAKSI PAK SAMAD:

Kenyataan Sekretariat Bertindak Anak Muda Malaysia (SAMA):

Tolak membudayakan kebodohan

– Novel popular Ahadiat Akashah akan jadi teks sekolah, tiada karya SN tersenarai

Sekretariat Bertindak Anak Muda Malaysia (SAMA) cukup prihatin dengan perkembangan terkini berkaitan dengan pendidikan negara. Keputusan Kementerian Pelajaran untuk tidak menyenaraikan sebarang karya Sasterawan Negara(SN) sebagai buku teks sastera bagi sekolah menengah pada tahun 2010 adalah amat mendukacitakan. Ia tragedi terbaru tanah air setelah kerajaan barisan nasional pimpinan mertua khairy jamaludin menghapuskan pendidikan bahasa ibunda Melayu dalam matapelajaran sains dan matematik.

Pusat Perkembangan Kurikulum(PKK) Kementerian Pelajaran membuktikan betapa dungu dan bingainya pemikiran mereka bilamana memberikan alasan maha bodoh bagi menolak karya SN warisan berharga untuk dipelajari di sekolah-sekolah. PKK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar. Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat para pelajar. Antara penulis yang karya mereka termasuk dalam senarai baru itu ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar.

SAMA tidak dapat menerima hakikat novel-novel Ahadiat Akashah seperti Budak Setan, Budak Rap dan Cinta Tiga Hari akan menjadi rujukan para pelajar bagi pembelajaran sastera. Novel dan karya seperti ini tidak mengandung apa-apa nilai kesusasteraan, kemanusian dan pemikiran. Ia tidak lebih daripada sekadar hanya cerita cinta remaja yang cukup ringan dan kosong pemikirannya. Seperti langit dengan bumi jika mahu membandingkan karya-karya Usman Awang dengan penulis seperti Ahadiat Akashah ini.

SAMA melihat tindakan ini sebagai usaha untuk membudayakan kebodohan dalam masyarakat. Pak imam hadhari yang masih tidur dibuai mimpi kuasa dan harta mahu rakyat Malaysia bodoh seperti dirinya. Pemerintah mahu rakyat tidak menyoal dan berfikir. Maka dengan itu lebih mudahlah kerja-kerja perasuah-perasuah untuk merompak dan menindas rakyat jelata.

SAMA juga melihat unsur rasuah dan penyelewengan kuasa dalam hal ini. Siapakah yang akan mendapat keuntungan bagi mencetak sekitar 200, 000 hingga 300, 000 naskhah bagi seorang pengarang yang baru tersenarai itu? Jikalau ada 12 pengarang baru., berapa banyakkah keuntungan yang dikaut hasil kegiatan pembodohan ini? SAMA tidak mahu generasi akan datang miskin ilmu pengetahuan. Justeru SAMA menolak budaya yang memiskinkan ini. Tolak membudayakan kebodohan!

Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMA)

mari sama-sama kita sebarkan berita malang ini.

Selamatkan Sastera Malaysia!